Tuesday, November 30, 2010

Al-Fatehah buat nenda tercinta

Assalamualaikum...

Tanggal 20 November 2010, hari Sabtu jam 5.45 ptg,  panggilan telefon daripada emak membawa khabar duka dari Kulai, nenda tercinta, Hjh. Siti Mariam binti Hj. Abas telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwainnailaihirajiun.... Semoga roh Atok Yam ditempatkan di kalangan roh orang-rang yang beriman. Di usia 78 tahun, arwah meninggal dunia kerana sakit tua. Syukur, peperiksaan yang perlu saya duduki jatuh pada hari Isnin. Sempatlah saya dan suami pulang ke Johor untuk bersama-sama keluarga menguruskan jenazah arwah atok. Dapatlah saya berjemaah menunaikan solat jenazah buat arwah atok bersama sanak-saudara yang lain. 
Terlalu banyak kenangan manis bersama Atok, tak mungkin saya lupakan. Atoklah guru mengaji saya yang pertama sebelum berguru dengan Arwah Atok Nin (Pak bilal, jiran belakang rumah Atok). Atoklah juga guru berzanji saya. Berkat tunjuk ajarnya, dapatlah saya mewakili sekolah ke perujian-perujian berzanji sejak darjah 4 lagi. Masa zaman sekolah dulu, rajinlah juga mengikut Atok ke majlis-majlis katam Al-Quran di sekitar Felda Taib Andak, dan kadang-kadang dapatlah juga menyumbang suara untuk 1 rawi. Saya pasti merindui kuih apam beras, kuih deram dan kuih cakar ayam arwah Atok Yam. Walaupun arwah tidak mendapat pendidikan secara formal, tapi arwah seorang yang rajin belajar. Semangatnya kuat. Tidak bergantung pada pendapatan Atok Apo sebagai peneroka Felda sahaja, Atok Yam berniaga kecil-kecilan menjual kuih Apam dan ubat-ubat tradisional di rumah, pasar tani Kulai dan pasar malam Felda Taib Andak. Kadang-kala, sempat juga saya mengikut Atok berjual di pasar tani dan pasar malam, serta berjual kuih dari rumah ke rumah bersama adik di rumah jiran-jiran. Ya, sifat yang membuatkan saya kagum dengan arwah, semangat kentalnya. Itulah salah satu sebab, saya menamakan anak perempuan saya Maryam Kayyisah. Semoga dia mewarisi semangat kental arwah Atok nanti.
Semasa kecil, ketika emak mempunyai urusan di Kuala Lumpur, saya dijaga oleh Atok. Apabila emak berpisah (ketika itu saya berusia 5 tahun dan adik saya baru dilahirkan) dengan arwah Abah, saya, adik dan emak menetap di rumah Atok. Kedua-dua Arwah Atok (Atok Apo & Atok Yam) lah yang menjaga saya dan adik, malah banyak yang telah dibelanjakan untuk membesarkan kami dua beradik. Ya, saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang besar. Saya dibesarkan oleh emak, Atok Apo, Atok Yam serta bapa-bapa saudara (4 orang) serta ibu-ibu saudara (2 orang) yang ketika itu masih bujang lagi. Terima kasih, kasih sayang yang kalian curahkan amat bermakna buat kami dua beradik, hanya Allah yang dapat membalas budi kalian.
Aidilfitri terakhir bersama arwah Atok Yam

Saturday, November 13, 2010

Keropok ROTA haram sebab ada kod E110. Benarkah?

Assalamualaikum.........

Gara-gara terbaca satu wall post di akaun Facebook hari ini, saya terpanggil untuk membuat entry ini. 


Rota... Oh! Rota.... rasanya, sejak zaman kanak-kanak saya lagi, 'jajan' (makanan ringan) ini sudah hangat di pasaran. 20 sen sebungkus, jajan 'mampu beli' bagi semua kanak-kanak Malaysia (sambil tersenyum, saya taip ayat ni). Kalau difikir-fikir, tidak mampu saya nyatakan, sudah berapa kilo jajan Rota ni masuk dalam perut saya, sejak zaman kanak-kanak dulu. Belum lagi jajan-jajan ciplak Rota, rasa sama, rupa sama, brand sahaja yang berbeza. 

Memang tidak dinafikan, makan jajan  tidak baik untuk kesihatan kita. Semua orang tahu, dan ramai orang buat-buat tidak tahu tentang perkara ini. Termasuklah saya, kadang-kadang, bila mulut ni rajin nak mengunyah walaupun tak lapar, jajan-jajan menjadi pilihan, dan selalunya saya buat-buat tak tahu, jajan itu tidak elok untuk saya. Degil! Tapi, bila dah ada anak, risau pula melihat anak-anak makan jajan. Memang susah nak jauhkan diri daripada jajan, sebab jajan di mana-mana sahaja sekarang ini. Apa yang mampu dilakukan, mengurangkan seminima yang boleh. Selamat maju jaya Aleen!

Berbalik kepada wall post berkaitan Rota di Facebook. 
ROTA haram sebab ada lemak babi? 
Reaksi pertama saya : 
Terkejut. Sangat terkejut.
(sambil berfikir, dah berapa banyak saya makan Rota sejak kanak-kanak lagi!)
Reaksi kedua saya :
Ye ke?.
(sebab dah banyak sangat jumpa email seperti ini)
Reaksi ketiga saya :
Mana dia tahu ada lemak babi ye? 
(oooo.... ada tulis kod E110- penulis kata, E110 tu lemak babi... scroll lagi ke bawah, banyaknya kod! semua 59 kod tu ada lemak babi.... aduh! lepas ni nak beli makanan kena check ada tak antara 59 kod tu yang tertulis kat senarai ingredient... so, kena hafal lah ni????...)
Reaksi keempat saya :
Nampak logo Halal pada packaging.
(terfikir, kalau terang-terang dah ada kod E110, macam mana boleh dapat sijil halal ni?. Jakim tak tau ke?... eh! takkan JAKIM tak tau, ni kan kerja die...tengok kat comment rakan-rakan FB, ade pulak yang kata JAKIM makan suap, tak buat kerja.... pergghhh... sesuka hati die je cakap org makan suap dan tak buat kerja)
Reaksi kelima saya :
Surfing, mencari maklumat lanjut.
(hehehe.... hari ni belum ada mood nak study final... paper lambat lagi... 19 & 22.11.2010.... lagipun, tension dgn paper thermo semalam tak habis lagi... so, hari ni nak buat mini research sikit pasal 'food ingredient numbers' ni...)

Inilah hasil mini research saya hari ini berkaitan FOOD INGREDIENT NUMBERS (E-numbers) 

Sumber


  • Apa itu E-numbers?
    • Merupakan kod yang mewakili bahan tambahan tertentu yang digunakan oleh pengeluar produk makanan. Ianya telah dirumuskan oleh European Economic Community (EEC) dan digunapakai oleh industri makanan di seluruh dunia.
    • Huruf 'E' mewakili "Europe" atau "European Union"
    • Nombor-nombor selepas huruf E dikategorikan seperti berikut :


  • Kod E110 yang tertulis pada jajan ROTA merupakan kod bagi jenis pewarna makanan.
    • E110 : Sunset Yellow FCF / Orange Yellow S - daripada sumber kimia
      • Halal if used as 100% dry color. Mushbooh if used as liquid color, the solvent has to be Halal.
      • Sunset Yellow FCF ini diperbuat daripada aromatic hydrocarbons (petroleum).
      • Sememangnya, bahan ini HALAL. Tetapi, ianya SANGAT TIDAK ELOK UNTUK KESIHATAN kita. Norway telah mengharamkan penggunaan bahan ini dalam pengeluaran produk makanan mereka kerana E110 boleh mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti urticaria  (gatal-gatal), urticaria (hidung beringus), hidung tersumbat, alergi, hiperaktif, tumor ginjal, kerosakan kromosom, mual dan muntah-muntah, gangguan pencernaan dan tidak selera makan.
  • Kod-kod yang HARAM:
    • E120 Cochineal : pewarna merah yang dihasilkan daripada serangga betina. (Haram according to Hanafi Fiqqah) 
    • E441 Gelatine : berasal dari tulang atau kulit lembu/babi
    • E542 Edible Bone Phosphate : ekstrak dari tulang haiwan
    • E904 Shellac : resin daripada serangga.
    • Beberapa bahan tambahan berkod E47, mungkin daripada haiwan atau tumbuhan.
  • Berhati-hati dengan kod-kod berikut :
    • Glycerol / Glycerin / Glycerine (E422) - haram jika diperolehi daripada daging babi atau sumber-sumber tidak halal.
    • Emulsifiers (E470 to E483) - haram jika diperolehi daripada daging babi atau sumber-sumber tidak halal.
    • Edible Bone Phosphate (E542) - haram jika diperolehi daripada daging babi atau sumber-sumber tidak halal.
  • Sebenarnya, banyak pihak telah menjawab persoalan tentang isu E110 ini. Cuma kita yang tidak berapa peka dengan maklumat-maklumat yang berasas seperti ini. Contohnya, School of Chemical Sciences and Food Technology, Faculty of Science and Technology, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga telah menjawab isu E110 ini.
Jawapan dari UKM :
Saya dah semak dan didapati tidak semua senarai E-codes itu diperbuat daripada terbitan lemak haiwan/babi. Sebagai orang Islam, tidak tidak boleh mengambil apa-apa maklumat bulat-bulat begitu saja tanpa ditentukan kesahihannya. Kita tidak mahu umat Islam dianggap “bodoh” dan mudah “diomong-omongkan” dengan perkara sebegini.
Sebagai contoh untuk additives dengan kod E100 adalah merujuk kepada curcumin, iaitu pewarna kuning semulajdi yang diambil daripada rizom kunyit (Curcuma longa), E110 adalah pewarna turuan Sunset Yellow FCF, Orange Yellow S, E120 = Cochineal, Carminic acid, Carmines, E140 = Chlorophylls and Chlorophyllins dan banyak lagi yang salah yang tidak ada kena mengena dengan lemak/minyak, apatah lagi lemak babi. Kesimpulannya, umat Islam perlulah berilmu agar kita tak mudah diperdaya dan “dipermainkan” oleh musuh-musuh Islam..................... (sila klik di sini untuk maklumat seterusnya)

KESIMPULAN
  • Jangan percaya bulat-bulat dengan maklumat-maklumat yang tidak berasas. Kebelakangan ini, memang banyak berita-berita atau artikel-artikel seperti ini tersebar di internet. Terutamanya melalui email dan rangkaian-rangkaian sosial seperti FACEBOOK dan seumpamanya. Baca boleh! percaya belum pasti. Maka, selidiklah dahulu sebelum mempercayainya. Kadangkala, maklumat yang disebarkan itu tidak tepat. 
  • Jangan menuduh orang sesuka-hati. Jangan menuduh orang tidak buat kerja, makan rasuah dan macam-macam lagi tuduhan dilemparkan sekiranya ada perkara yang membuatkan kita tidak berpuas hati. Hanya Allah yang tahu, apa yang mereka buat. Kita pun, bukannya tahu sangat tentang tugas dan tangunggjawab yang mereka pikul. Dan kitapun kadang-kala tidak dapat melaksanakan tanggungjawab kita dengan sempurna. Apa pula pandangan orang terhadap kita? Yang penting, keikhlasan kita menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kadangkala, apa yang kita buat pasti ada kekurangan, kerana kita tidak sempurna. Hanya Allah yang tahu!
  • Sebenarnya, banyak maklumat yang boleh kita perolehi daripada kemudahan internet ini. Yang baik mahupun yang buruk, pastinya dihujung jari. Terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk menapis segala maklumat itu. Jangan menyalahkan teknologi dek kerana keburukan yang kita nampak segalanya berpunca daripadanya. Kepintaran manusia membangunkan teknologi adalah anugerah daripada Allah buat makhlukNya yang berakal. Umat Islam perlulah berilmu agar kita tak mudah diperdaya dan “dipermainkan” oleh musuh-musuh Islam. Fikir-fikirkanlah......
Wallahualam....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...