Tuesday, November 30, 2010

Al-Fatehah buat nenda tercinta

Assalamualaikum...

Tanggal 20 November 2010, hari Sabtu jam 5.45 ptg,  panggilan telefon daripada emak membawa khabar duka dari Kulai, nenda tercinta, Hjh. Siti Mariam binti Hj. Abas telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwainnailaihirajiun.... Semoga roh Atok Yam ditempatkan di kalangan roh orang-rang yang beriman. Di usia 78 tahun, arwah meninggal dunia kerana sakit tua. Syukur, peperiksaan yang perlu saya duduki jatuh pada hari Isnin. Sempatlah saya dan suami pulang ke Johor untuk bersama-sama keluarga menguruskan jenazah arwah atok. Dapatlah saya berjemaah menunaikan solat jenazah buat arwah atok bersama sanak-saudara yang lain. 
Terlalu banyak kenangan manis bersama Atok, tak mungkin saya lupakan. Atoklah guru mengaji saya yang pertama sebelum berguru dengan Arwah Atok Nin (Pak bilal, jiran belakang rumah Atok). Atoklah juga guru berzanji saya. Berkat tunjuk ajarnya, dapatlah saya mewakili sekolah ke perujian-perujian berzanji sejak darjah 4 lagi. Masa zaman sekolah dulu, rajinlah juga mengikut Atok ke majlis-majlis katam Al-Quran di sekitar Felda Taib Andak, dan kadang-kadang dapatlah juga menyumbang suara untuk 1 rawi. Saya pasti merindui kuih apam beras, kuih deram dan kuih cakar ayam arwah Atok Yam. Walaupun arwah tidak mendapat pendidikan secara formal, tapi arwah seorang yang rajin belajar. Semangatnya kuat. Tidak bergantung pada pendapatan Atok Apo sebagai peneroka Felda sahaja, Atok Yam berniaga kecil-kecilan menjual kuih Apam dan ubat-ubat tradisional di rumah, pasar tani Kulai dan pasar malam Felda Taib Andak. Kadang-kala, sempat juga saya mengikut Atok berjual di pasar tani dan pasar malam, serta berjual kuih dari rumah ke rumah bersama adik di rumah jiran-jiran. Ya, sifat yang membuatkan saya kagum dengan arwah, semangat kentalnya. Itulah salah satu sebab, saya menamakan anak perempuan saya Maryam Kayyisah. Semoga dia mewarisi semangat kental arwah Atok nanti.
Semasa kecil, ketika emak mempunyai urusan di Kuala Lumpur, saya dijaga oleh Atok. Apabila emak berpisah (ketika itu saya berusia 5 tahun dan adik saya baru dilahirkan) dengan arwah Abah, saya, adik dan emak menetap di rumah Atok. Kedua-dua Arwah Atok (Atok Apo & Atok Yam) lah yang menjaga saya dan adik, malah banyak yang telah dibelanjakan untuk membesarkan kami dua beradik. Ya, saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang besar. Saya dibesarkan oleh emak, Atok Apo, Atok Yam serta bapa-bapa saudara (4 orang) serta ibu-ibu saudara (2 orang) yang ketika itu masih bujang lagi. Terima kasih, kasih sayang yang kalian curahkan amat bermakna buat kami dua beradik, hanya Allah yang dapat membalas budi kalian.
Aidilfitri terakhir bersama arwah Atok Yam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...