Wednesday, April 27, 2011

Berlalu sudah...

Assalamualaikum....
Alhamdulillah... masih diberi kesempatan oleh-Nya berkongsi cerita di sini... Ketika ini, saya baru sahaja selesai menduduki peperiksaan untuk semester ini.. Pejam celik, dah 2 tahun saya di bumi Melaka ni... Insyallah, 2 tahun lagi selesailah pengajian saya... Kesibukan yang terlampau, menyebabkan saya terpaksa membiarkan blog ini bersawang... semester yang agak mencabar... walaupun, jam kredit hanya 15, tapi  cukup mencabar mental dan fizikal.. bayangkan, dalam tidak sedar, berat saya berkurang 5kg... selera makan pun berkurang dek kerana terlalu letih menghadap assignment dan projek yang menimbun.. "penat, tapi puas"... itu sahaja ungkapan yang tepat untuk menggambarkan perasaan saya.... Moga apa yang diusahakan ini berbaloi... ketika ini, saya hanya bertawakal dan berserah kepadaNya... semoga target semester ini tercapai. Dah tak larat nak mengerah otak mengarang ayat panjang-panjang, jom! layan gambar-gambar saje.... sekeping gambar menyimpan 1001 cerita...


semester ni dapat buat program untuk kelas... Alhamdulillah, rezeki kami sekelas, fakulti bermurah hati bagi budget... bukan senang nak dapat.... tapi usaha kami berbaloi... Team building 2BMFR di Eagle Ranch Resort, Port Dickson.
bersama En. Halim...  lecturer thermo & heat transfer a.k.a motivator kami...

bersama En. Tajul, mantan ketua jabatan design... tanpa sokongan padu daripada beliau, program ni takkan berjaya dilaksanakan..

Penangan subjek hubungan etnik.... kami terjah muzium, masjid, tokong & kuil... terima kasih kepada Tn. Hj. Iesnordin bin Hj. Malan, Pen. Kurator Muzium Senibina Malaysia...

TQ to Elly, Gory, Yong, Chan, Bella, Chombee n my hubby...



report kajian lapangan yang dah macam thesis gamaknya....

Pameran projek rekabentuk pelajar-pelajar FKP... Geng 2BMFR

Hari yang paling banyak bercakap.... lepak sungguh...

hasilnya...... terima kasih kepada anas, nurul & my hubby... =)

sempat lagi design badge button sbg 'team spirit' kami sekelas...

poster projek 3D drawing (SolidWorks)... reverse engineering... tq to Acap, Mekna & Aimi... 



Saturday, February 26, 2011

HUMAN BRAIN - Otak manusia

Assalamualaikum...
Mari mengulangkaji sambil berBLOG.

Hari ini saya hendak berkongsi ilmu berkaitan otak manusia.

3 bahagian utama otak :

  1. Cerebrum
  2. Brain Stem
  3. Cerebellum
CEREBRUM
  • Bahagian paling besar dalam otak.
  • Terletak di bahagian Forebrain.
  • Fungsi : mengawal pergerakan, suhu badan, pendengaran, pembelajaran, penyelesaian masalah, sentuhan, penglihatan, penilaian dan emosi.
  • Cerebral hemisphere terbahagi kepada 2 :
    • otak kanan
      • mengawal bahagian kiri tubuh manusia.
      • pemikiran kreativiti dan artistik
    • otak kiri
      • 'convergent thinker' (logical conclusion, analyze, systematic & play with rules)
      • mengawal bahagian kanan tubuh manusia.
      • pemikiran logik dan rasional
  • 2 jenis hemisfera cerebrum :
    • Lobes
      • frontol lobes
        • motor development
        • speech
        • personality
      • temporal lobes
        • memory
        • language
        • speech
      • parietal lobes
        • 6th sense
      • occipital lobes
        • vision centers
    • Broad regions

BRAIN STEM
  • terletak di bahagian midbrain.
  • cerebrum, cerebellum dan spinal cord bersambung dengan brain stem.
  • fungsi utama adalah mengawal tubuh dengan menyampaikan mesej daripada otak ke bahagian-bahagian tubuh yang tertentu.
  • terbahagi kepada 3 iaitu :
    • midbrain
    • pons
    • medula oblongata
  • ketiga-tiga bahagian tersebut berfungsi untuk mengawal tubuh manusia yang berfungsi tanpa sedar iaitu :
    • pernafasan
    • menelan makanan
    • pergerakan mata dan mulut
    • lapar
    • rasa sakit, panas dll
    • fungsi jantung
    • keadaan sedar/tidak sedar manusia

CEREBELLUM
  • sebahagian besarnya terdiri daripada saraf-saraf.
  • terletak di bahagian hindbrain
  • pusat kawalan pergerakan tubuh manusia 
  • 3 fungsi utama :
    • voluntary muscle movement
    • fine motor skill
    • balancing, posture & equilibrium
  • 2 bahagian cerebellum :
    • Left cerebellum
      • kawal bahagian kiri tubuh
    • Right cerebellum
      • kawal bahagian kanan tubuh

LAIN-LAIN BAHAGIAN
  • Ventricular
    • membekalkan makanan bagi otak (nourishment)
    • menghasilkan cecair jernih di sekitar otak sebagai kusyen/pelindung otak.
  • Pituitary
    • center of the brain
    • sebesar syiling
    • menghasilkan hormon
  • Cranial
    • 12 fungsi bagi saraf cranial
      • bau
      • penglihatan
      • pergerakan mata
      • pergerakan kelopak mata
      • kunyah
      • kelipan mata
      • ekspresi muka
      • keseimbangan tubuh
      • rasa
      • telan
      • otot
      • fungsi lidah


apakah priority pemikiran seorang lelaki dan seorang wanita?
anda setuju dengan gambarajah di atas?
fikir-fikirkanlah...

Tuesday, January 18, 2011

Opick - Bila Waktu Telah Berakhir




Bila Waktu Tlah Berakhir - Opick

Begaimana kau merasa bangga
akan dunia yg sementara
bagaimanakah bila semua hilang dan pergi
meninggalkan dirimu

bagaimanakah bila saatnya
waktu terhenti tak kau sadari
masikah ada jalan bagimu untuk kembali
mengulangkan masa lalu

dunia dipenuhi dengan hiasan
semua dan segala yg ada akan
kembali padaNya

bila waktu tlah memenggil 
teman sejati hanyalah amal
bila waktu telah terhenti
teman sejati tingallah sepi

Saturday, January 15, 2011

Selamat Tinggal 2010..... Pastikan 2011 Lebih Baik...

Assaalamualaikum semua......

Sudah 15 hari 2010 berlalu dan inilah entry saya yang pertama untuk tahun 2011. 
Penghujung 2010, hari-hari yang sangat bermakna saya lalui bersama suami, anak-anak dan keluarga. Mana tidaknya, cuti semester lebih kurang 1 bulan setengah kami gunakan sepenuhnya bersama keluarga setelah berhempas pulas memerah otak melalui 4 bulan kuliah yang sangat-sangat menguji kekuatan mental. 2011, Syahmi memulakan alam persekolahannya di Tadika KEMAS, Kluang, Johor. Alhamdulillah, Syahmi mudah menyesuaikan diri. 

Walaupun 'target pointer' semester lepas tersasar sedikit, ianya tidak mematahkan semangat saya untuk berusaha lagi pada semester 4 ini. Insyallah, yakin boleh! 15 jumlah jam kredit untuk semester ini tidak boleh diambil ringan. Subjek-subjek yang diambil semester ini, boleh dianggap menarik. Subjek-subjek yang sememangnya menarik perhatian saya untuk mengambil 'course' ini, Product Design & Development dan Graphic Engineering & Advance CADD. Satu 'killer subject', Heat Transfer, harap subjek ini tidak merosakkan pointer saya seperti yang berlaku pada semester lepas, thermofluid telah menghancurkan harapan saya. Koku Penerbitan & Kewartawanan, terpaksa dipilih setelah kebanyakan koku lain sudah penuh. "Ehmmm... lepas ni bole jadi reporterlah... hehehehe". Nampaknya, semester ini kesibukan melanda. Sibuk dengan projek-projek mini  dan sibuk dengan 'case study' yang boleh tahan banyaknya. "Tak boleh kerja last minute nih!". 

Untuk program kelas BMFR semester ini, kami sepakat hendak ke Port Dickson. Program 2 hari 1 malam, bersantai-santai sambil membina ukhwah antara rakan sekelas. Terlalu banyak prosedur yang perlu dilalui untuk memohon kelulusan, walaupun sekadar permohonan perkhidmatan bas universiti sahaja. Semoga apa yang kami rancang ini berjaya dilaksanakan dan ucapan jutaan terima kasih buat Ketua Jabatan kami yang sangat prihatin dan sanggup membantu dalam urusan permohonan kelulusan program ini. Semoga berjaya!

Selamat tinggal thermofluid & engineering materials...

             Bapak borek anak rintik                          Mak, Syahmi & Kayyisah

                                  Ujian Musnah - projek buai Abah dan Syahmi


            Syahmi the builder                    Kursus Free - Solidwork 2011 di ILP PG

           Botanical Garden, Melaka                       Hari pertama Tadika KEMAS



Concept Sketching using Google Sketchup Pro Software

Natural Illumination Device... Idea untuk projek PDD.. ok tak?




Saturday, December 25, 2010

Pujuklah hati....


Segumpal daging dalam tubuh adalah hati. Bila hatinya bersih maka baik pula perilakunya. Namun terkadang hati kita dihinggapi rasa yang tak baik seperti riak, tamak, iri hati, sedih, takut, lemah, dan was-was. Pujuklah hati.... sentiasalah berdoa, berdoa untuk hati kita.... bersyukurlah dengan apa yang ada.. berusahalah tanpa jemu... bertawakkal kepada Allah... Allah yang maha pengampun, penyayang lagi maha mengasihani...

"Ya Allah aku berlindung pada-Mu dari kemurungan dan kesusahan, aku berlindung pada-Mu dari kemalasan dan aku berlindung pada-Mu dari ketakutan dan kekikiran, aku berlindung pada-Mu dari tekanan hutang dan paksaan orang lain."

Pujuklah hati....berdoalah lagi.... lagi... dan lagi....


" Dengan asma AllahYang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya
Ilahi, Tuhanku
Hatiku penuh hijab dan jiwaku penuh aib
Akalku terkalahkan dan hawa nafsuku mengalahkan
Ketaatanku sedikit dan maksiatku banyak
Sedangkan lisanku mengakui dosa-dosaku, bagaimana dengan dayaku?
Wahai Yang Maha Menutupi segala aib
Wahai Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib
Wahai Yang Menghilangkan segala duka dan derita
Ampuni semua dosaku dengan kemuliaan Muhammad dan keluarga Muhammad
Ya Ghafar Ya Ghaffar Ya Ghaffar
dengan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi. "

Monday, December 6, 2010

4 Disember : Selamat Ulang Tahun Maryam Kayyisah


4 Disember 2010, genap setahun usia puteri sulungku. Mengenang kembali pengalaman semasa mengandung serta melahirkannya, pengalaman yang amat berharga. Memang kami suami-isteri merancang untuk menimang cahaya mata kedua, buat peneman abang yang ketika itu telah berusia 3 tahun. Alhamdulillah, saya disahkan mengandung dan bakal bersalin pada bulan Disember 2009 (memang itu yang kami rancang, agar perancangan kami melanjutkan pelajaran tidak terganggu, di mana cuti akhir semester jatuh pada bulan disember). Seperti pengalaman semasa mengandungkan Syahmi, saya mengalami alah/mabuk yang agak teruk. Saya tiada selera makan, tidak boleh menghidu bau-bau masakan, tidak boleh lapar, tidak boleh membaca dan menghadap skrin komputer, kerap letih dan muntah-muntah. Seksanya, hanya Allah yang tahu, sehinggakan emak saya pun pernah berseloroh melihat keadaan saya, "Linda, teruk sangat mabuk, agaknya dua ni je lah anaknya". Dalam tempoh 3 bulan saya mengalami alah yang teruk itu, sememangnya prestasi kerja saya merundum. Banyak kerja-kerja berkaitan dokumentasi tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam tempoh itu juga, saya lebih suka berkurung di rumah, jarang sekali keluar rumah. Jika balik kampung (Kulai/Kluang), sepanjang perjalanan itu, suami saya akan berhenti di setiap hentian sebelah dan R&R lebuhraya, agar saya dapat melepaskan muntah. Letih, sangat letih. Majlis Anugerah Cemerlang yang perlu saya hadiri juga terpaksa dilupakan, kerana dalam keadaan bergini, saya tidak mampu bertahan duduk berjam-jam di dalam majlis tersebut.

Semasa usia kandungan saya 14 minggu, saya dan suami menerima tawaran melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, ketika mendaftar, alahan saya semakin berkurangan. Sebaik sahaja kuliah bermula, saya tidak lagi mengalami alahan. Syukur, Allah permudahkan urusan saya. Pada semester tersebut, saya terpaksa melalui kerja bengkel. Syukur, pensyarah-pensyarah dan juruteknik-juruteknik memahami. Semua projek dilakukan secara berkumpulan, dan saya pasti berpasangan dengan suami. Apa yang mampu saya buat, saya akan lakukan, kerja-kerja menggegas, melarik, milling dan sheet metal saya lakukan, kecuali mengimpal, sememangnya saya diberi pelepasan, hanya perlu buat laporan sahaja. Alhamdulillah, saya dapat A untuk subjek tersebut. Malah, saya mendapat Anugerah Dekan pada semester tersebut.

Pengalaman mengandungkan Syahmi, saya juga mengalami kencing manis. Terpaksa menjalani pelbagai ujian darah dan kerap berulang-alik ke klinik. Semasa mengandung kali kedua ini pula, kesihatan saya di tahap yang baik, hanya perlu buat pemeriksaan rutin di klinik desa Kesang Pajak yang sentiasa lengang keadaannya, tidak ramai yang buat pemeriksaan di situ. Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk menyiapkan pemeriksaan. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan lagi.

Selesai peperiksaan akhir, kami pulang ke Johor. Mengikut perancangan awal, saya akan berpantang di Kluang kerana ibu mertua akan membantu suami menjaga saya. Memandangkan, banyak cerita yang tidak menarik didengar daripada kenalan mengenai Hospital Kluang, saya berhasrat untuk bersalin di Hospital Batu Pahat. Tapi, kita hanya mampu merancang, Allah penentu segalanya. Di saat-saat akhir, ibu dan bapa mertua saya berpeluang menunaikan fardhu haji. Segala perancangan berubah, ibu mertua mencadangkan agar saya pulang ke Kulai pada 4 Disember 2009 dan bersalin di sana, lagipun tarikh jangkaan bersalin saya jatuh pada 20 Disember 2009. Setelah difikir semasak-masaknya, demi keselesaan suami, saya bercadang untuk bersalin di Hospital Kluang (tawakkal sahaja, walaupun banyak cerita tidak menarik didengar) dan berpantang di Kluang sahaja. Insyallah, suami lebih selesa menjaga saya di kampungnya sendiri. Ibu-ibu saudara dan adik-adiknya boleh membantu serba sedikit.

Tanggal 3 Disember 2009, saya dapat merasakan yang saya akan bersalin pada masa terdekat. Sama seperti pengalaman bersalinkan Syahmi, keluar tanda lendir berdarah. Tidak mahu duduk di wad lama-lama, saya menunggu sehingga ada rasa sakit. Jam 4 pagi, 4 Disember 2009, sedang lena tidur, saya mengalami sakit di pinggang, rasa seperti sakit senggugut, rasa sakit itu datang secara kerap, lendir berdarah juga semakin banyak. Saya cuba menenangkan diri sendiri, sebelum mengejutkan suami, saya mandi dahulu dan menyiapkan diri. Kemudian, baru mengejutkan suami. Saya mengawal rasa sakit, agar suami tidak risau. Lebih kurang jam 4.45 pagi, kami sampai di Hospital Kluang. Berdasarkan pemeriksaan, bukaan pintu rahim baru 3 cm. Rasa sakit akibat kontraksi semakin kerap, degup jantung bayi dalam keadaan baik. Sementara menanti jam 8.00 pagi, saya ditempatkan di wad. Agak risau apabila saya seorang sahaja di dalam bilik yang menempatkan 2 buah katil. Lagi sebuah katil belum ada pesakitnya. Hanya dapat melelapkan mata untuk beberapa minit sahaja, kerana kontraksi yang saya alami semakin kerap, sangat tidak selesa. Lebih kurang jam 8.30 pagi setelah bersarapan sedikit nasi goreng, doktor memecahkan ketuban saya. Rasa sakit semakin kuat. Kemudian, saya terus dibawa ke dewan bersalin. Katil-katil hanya dihadang menggunakan langsir sahaja. Mujur, pada pagi itu, saya seorang sahaja yang sedang menanti saat kelahiran. Maka, semua jururawat dan pelatih-pelatih menumpukan perhatian kepada saya sahaja. Syukur, ada pelatih-pelatih dan jururawat yang baik hati mengurut dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Sebaik sahaja saat bersalin semakin hampir, suami saya dipanggil masuk bagi menemani saya. Jururawat banyak membantu dan mangajar teknik-teknik yang bermanfaat. Suami juga diajar bagaimana untuk menyokong kepala dan bahagian belakang saya semasa sedang meneran. Berkat tunjuk ajar dan keprihatinan jururawat dan pelatih semua serta sokongan suami tercinta, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada jam 10.02 pagi dengan berat 2.6kg (berat abang semasa dilahirkan 2.5kg). Mungkin, saya bersalin awal 2 minggu daripada tarikh jangkaan, menyebabkan berat bayi hanya 2.6kg, tidak seperti bayi-bayi lain, kebiasaannya mencecah 3kg atau lebih.

Gembira di hati bukan kepalang, kini kami mempunyai sepasang cahaya mata. Sepanjang tempoh berpantang, segalanya diuruskan oleh suami. Syukur, berkat pengalaman lepas, suami tahu apa yang perlu untuk saya dan bayi. Mencuci uri, menanam uri, mengambil tukang urut, memasak lauk berpantang dan memandikan bayi, semuanya dilakukan oleh suami saya. Semasa saya mengalami bengkak susu, dek kerana terlalu sakit dan tidak mampu untuk mengangkat gayung, suami sayalah yang memandikan saya (aduh!!! manjanya...). Adik-adik ipar dan ibu-ibu saudara suami juga banyak membantu, mencarikan ubat-ubat tradisional dan membantu suami yang tak menang tangan menguruskan saya, bayi dan hero kami.

Pada hari ketujuh, kami menamakan bayi, Maryam Kayyisah. Sebenarnya nama Kayyisah saya jumpa di internet. Maknanya, berakal jernih. Semoga pemilik namanya juga berakal jernih. Sengaja saya memilih nama Maryam, agak klasik sedikit. Mencari sedikit kelainan daripada trend nama-nama hari ini. Pada masa yang sama, nama nenek saya dan nenek suami juga Maryam. Yang paling penting, Maryam adalah nama ibu nabi Isa. Maryam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman (seorang lagi adalah isteri Firaun) yang berdarjat tinggi di sisi Allah.
"Allah membuat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.'
"Dan Maryam, puteri Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami menghembuskan ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan menjadi antara orang-orang yang patuh" (66:11-12).
Akan tetapi, Allah berfirman lagi mengenai Maryam. Kata-Nya Maryam adalah di atas semua perempuan di semua alam. 

"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Maryam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).  

Semoga makna dan pengertian nama ini mempengaruhi keseluruhan hidup anak perempuan saya, Maryam Kayyisah. Semoga menjadi anak serta muslimah yang solehah, terpelihara keselamatan, kesihatan, akhlak dan kesucian maruahnya, dilindungi daripada segala kejahatan dan maksiat yang semakin berleluasa di muka bumi ini. Amin... Amin... Ya Rabbal A'lamiiin.... Doa emak, sentiasa mengiringi hidup kalian, Muhammad Izzu Syahmi dan Maryam Kayyisah.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...