Monday, December 6, 2010

4 Disember : Selamat Ulang Tahun Maryam Kayyisah


4 Disember 2010, genap setahun usia puteri sulungku. Mengenang kembali pengalaman semasa mengandung serta melahirkannya, pengalaman yang amat berharga. Memang kami suami-isteri merancang untuk menimang cahaya mata kedua, buat peneman abang yang ketika itu telah berusia 3 tahun. Alhamdulillah, saya disahkan mengandung dan bakal bersalin pada bulan Disember 2009 (memang itu yang kami rancang, agar perancangan kami melanjutkan pelajaran tidak terganggu, di mana cuti akhir semester jatuh pada bulan disember). Seperti pengalaman semasa mengandungkan Syahmi, saya mengalami alah/mabuk yang agak teruk. Saya tiada selera makan, tidak boleh menghidu bau-bau masakan, tidak boleh lapar, tidak boleh membaca dan menghadap skrin komputer, kerap letih dan muntah-muntah. Seksanya, hanya Allah yang tahu, sehinggakan emak saya pun pernah berseloroh melihat keadaan saya, "Linda, teruk sangat mabuk, agaknya dua ni je lah anaknya". Dalam tempoh 3 bulan saya mengalami alah yang teruk itu, sememangnya prestasi kerja saya merundum. Banyak kerja-kerja berkaitan dokumentasi tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam tempoh itu juga, saya lebih suka berkurung di rumah, jarang sekali keluar rumah. Jika balik kampung (Kulai/Kluang), sepanjang perjalanan itu, suami saya akan berhenti di setiap hentian sebelah dan R&R lebuhraya, agar saya dapat melepaskan muntah. Letih, sangat letih. Majlis Anugerah Cemerlang yang perlu saya hadiri juga terpaksa dilupakan, kerana dalam keadaan bergini, saya tidak mampu bertahan duduk berjam-jam di dalam majlis tersebut.

Semasa usia kandungan saya 14 minggu, saya dan suami menerima tawaran melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, ketika mendaftar, alahan saya semakin berkurangan. Sebaik sahaja kuliah bermula, saya tidak lagi mengalami alahan. Syukur, Allah permudahkan urusan saya. Pada semester tersebut, saya terpaksa melalui kerja bengkel. Syukur, pensyarah-pensyarah dan juruteknik-juruteknik memahami. Semua projek dilakukan secara berkumpulan, dan saya pasti berpasangan dengan suami. Apa yang mampu saya buat, saya akan lakukan, kerja-kerja menggegas, melarik, milling dan sheet metal saya lakukan, kecuali mengimpal, sememangnya saya diberi pelepasan, hanya perlu buat laporan sahaja. Alhamdulillah, saya dapat A untuk subjek tersebut. Malah, saya mendapat Anugerah Dekan pada semester tersebut.

Pengalaman mengandungkan Syahmi, saya juga mengalami kencing manis. Terpaksa menjalani pelbagai ujian darah dan kerap berulang-alik ke klinik. Semasa mengandung kali kedua ini pula, kesihatan saya di tahap yang baik, hanya perlu buat pemeriksaan rutin di klinik desa Kesang Pajak yang sentiasa lengang keadaannya, tidak ramai yang buat pemeriksaan di situ. Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk menyiapkan pemeriksaan. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan lagi.

Selesai peperiksaan akhir, kami pulang ke Johor. Mengikut perancangan awal, saya akan berpantang di Kluang kerana ibu mertua akan membantu suami menjaga saya. Memandangkan, banyak cerita yang tidak menarik didengar daripada kenalan mengenai Hospital Kluang, saya berhasrat untuk bersalin di Hospital Batu Pahat. Tapi, kita hanya mampu merancang, Allah penentu segalanya. Di saat-saat akhir, ibu dan bapa mertua saya berpeluang menunaikan fardhu haji. Segala perancangan berubah, ibu mertua mencadangkan agar saya pulang ke Kulai pada 4 Disember 2009 dan bersalin di sana, lagipun tarikh jangkaan bersalin saya jatuh pada 20 Disember 2009. Setelah difikir semasak-masaknya, demi keselesaan suami, saya bercadang untuk bersalin di Hospital Kluang (tawakkal sahaja, walaupun banyak cerita tidak menarik didengar) dan berpantang di Kluang sahaja. Insyallah, suami lebih selesa menjaga saya di kampungnya sendiri. Ibu-ibu saudara dan adik-adiknya boleh membantu serba sedikit.

Tanggal 3 Disember 2009, saya dapat merasakan yang saya akan bersalin pada masa terdekat. Sama seperti pengalaman bersalinkan Syahmi, keluar tanda lendir berdarah. Tidak mahu duduk di wad lama-lama, saya menunggu sehingga ada rasa sakit. Jam 4 pagi, 4 Disember 2009, sedang lena tidur, saya mengalami sakit di pinggang, rasa seperti sakit senggugut, rasa sakit itu datang secara kerap, lendir berdarah juga semakin banyak. Saya cuba menenangkan diri sendiri, sebelum mengejutkan suami, saya mandi dahulu dan menyiapkan diri. Kemudian, baru mengejutkan suami. Saya mengawal rasa sakit, agar suami tidak risau. Lebih kurang jam 4.45 pagi, kami sampai di Hospital Kluang. Berdasarkan pemeriksaan, bukaan pintu rahim baru 3 cm. Rasa sakit akibat kontraksi semakin kerap, degup jantung bayi dalam keadaan baik. Sementara menanti jam 8.00 pagi, saya ditempatkan di wad. Agak risau apabila saya seorang sahaja di dalam bilik yang menempatkan 2 buah katil. Lagi sebuah katil belum ada pesakitnya. Hanya dapat melelapkan mata untuk beberapa minit sahaja, kerana kontraksi yang saya alami semakin kerap, sangat tidak selesa. Lebih kurang jam 8.30 pagi setelah bersarapan sedikit nasi goreng, doktor memecahkan ketuban saya. Rasa sakit semakin kuat. Kemudian, saya terus dibawa ke dewan bersalin. Katil-katil hanya dihadang menggunakan langsir sahaja. Mujur, pada pagi itu, saya seorang sahaja yang sedang menanti saat kelahiran. Maka, semua jururawat dan pelatih-pelatih menumpukan perhatian kepada saya sahaja. Syukur, ada pelatih-pelatih dan jururawat yang baik hati mengurut dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Sebaik sahaja saat bersalin semakin hampir, suami saya dipanggil masuk bagi menemani saya. Jururawat banyak membantu dan mangajar teknik-teknik yang bermanfaat. Suami juga diajar bagaimana untuk menyokong kepala dan bahagian belakang saya semasa sedang meneran. Berkat tunjuk ajar dan keprihatinan jururawat dan pelatih semua serta sokongan suami tercinta, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada jam 10.02 pagi dengan berat 2.6kg (berat abang semasa dilahirkan 2.5kg). Mungkin, saya bersalin awal 2 minggu daripada tarikh jangkaan, menyebabkan berat bayi hanya 2.6kg, tidak seperti bayi-bayi lain, kebiasaannya mencecah 3kg atau lebih.

Gembira di hati bukan kepalang, kini kami mempunyai sepasang cahaya mata. Sepanjang tempoh berpantang, segalanya diuruskan oleh suami. Syukur, berkat pengalaman lepas, suami tahu apa yang perlu untuk saya dan bayi. Mencuci uri, menanam uri, mengambil tukang urut, memasak lauk berpantang dan memandikan bayi, semuanya dilakukan oleh suami saya. Semasa saya mengalami bengkak susu, dek kerana terlalu sakit dan tidak mampu untuk mengangkat gayung, suami sayalah yang memandikan saya (aduh!!! manjanya...). Adik-adik ipar dan ibu-ibu saudara suami juga banyak membantu, mencarikan ubat-ubat tradisional dan membantu suami yang tak menang tangan menguruskan saya, bayi dan hero kami.

Pada hari ketujuh, kami menamakan bayi, Maryam Kayyisah. Sebenarnya nama Kayyisah saya jumpa di internet. Maknanya, berakal jernih. Semoga pemilik namanya juga berakal jernih. Sengaja saya memilih nama Maryam, agak klasik sedikit. Mencari sedikit kelainan daripada trend nama-nama hari ini. Pada masa yang sama, nama nenek saya dan nenek suami juga Maryam. Yang paling penting, Maryam adalah nama ibu nabi Isa. Maryam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman (seorang lagi adalah isteri Firaun) yang berdarjat tinggi di sisi Allah.
"Allah membuat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.'
"Dan Maryam, puteri Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami menghembuskan ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan menjadi antara orang-orang yang patuh" (66:11-12).
Akan tetapi, Allah berfirman lagi mengenai Maryam. Kata-Nya Maryam adalah di atas semua perempuan di semua alam. 

"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Maryam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).  

Semoga makna dan pengertian nama ini mempengaruhi keseluruhan hidup anak perempuan saya, Maryam Kayyisah. Semoga menjadi anak serta muslimah yang solehah, terpelihara keselamatan, kesihatan, akhlak dan kesucian maruahnya, dilindungi daripada segala kejahatan dan maksiat yang semakin berleluasa di muka bumi ini. Amin... Amin... Ya Rabbal A'lamiiin.... Doa emak, sentiasa mengiringi hidup kalian, Muhammad Izzu Syahmi dan Maryam Kayyisah.....

2 comments:

  1. Salam..nk tnye..di hospital kluang dr@pelatihnya perempuan @ lelaki...klu blh nk yg perempuan semua...thnx in advnce

    ReplyDelete
  2. Salam..nk tnye..di hospital kluang dr@pelatihnya perempuan @ lelaki...klu blh nk yg perempuan semua...thnx in advnce

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...