آللهُمَّ ارْزُقْنَا يَا رَبِّ فَهْمَ النَّبِيْيِنَ وَحِفْظَ آلْمُرْسَلِيْنَوَإِلْهَامَ آلْمَلائِكَةَ آلْمُقًرَّبِيْنَ فِى عَافِيَةِ يَااَرْحَنَ آلرٌّاحِمِينِ ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul dan ilham dari para Malaikat yang menghampiri denganMu kurniakanlah kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Monday, February 14, 2011
Tuesday, January 18, 2011
Opick - Bila Waktu Telah Berakhir
Bila Waktu Tlah Berakhir - Opick
Begaimana kau merasa bangga
akan dunia yg sementara
bagaimanakah bila semua hilang dan pergi
meninggalkan dirimu
bagaimanakah bila saatnya
waktu terhenti tak kau sadari
masikah ada jalan bagimu untuk kembali
mengulangkan masa lalu
dunia dipenuhi dengan hiasan
semua dan segala yg ada akan
kembali padaNya
bila waktu tlah memenggil
teman sejati hanyalah amal
bila waktu telah terhenti
teman sejati tingallah sepi
Saturday, January 15, 2011
Selamat Tinggal 2010..... Pastikan 2011 Lebih Baik...
Assaalamualaikum semua......
Sudah 15 hari 2010 berlalu dan inilah entry saya yang pertama untuk tahun 2011.
Penghujung 2010, hari-hari yang sangat bermakna saya lalui bersama suami, anak-anak dan keluarga. Mana tidaknya, cuti semester lebih kurang 1 bulan setengah kami gunakan sepenuhnya bersama keluarga setelah berhempas pulas memerah otak melalui 4 bulan kuliah yang sangat-sangat menguji kekuatan mental. 2011, Syahmi memulakan alam persekolahannya di Tadika KEMAS, Kluang, Johor. Alhamdulillah, Syahmi mudah menyesuaikan diri.
Walaupun 'target pointer' semester lepas tersasar sedikit, ianya tidak mematahkan semangat saya untuk berusaha lagi pada semester 4 ini. Insyallah, yakin boleh! 15 jumlah jam kredit untuk semester ini tidak boleh diambil ringan. Subjek-subjek yang diambil semester ini, boleh dianggap menarik. Subjek-subjek yang sememangnya menarik perhatian saya untuk mengambil 'course' ini, Product Design & Development dan Graphic Engineering & Advance CADD. Satu 'killer subject', Heat Transfer, harap subjek ini tidak merosakkan pointer saya seperti yang berlaku pada semester lepas, thermofluid telah menghancurkan harapan saya. Koku Penerbitan & Kewartawanan, terpaksa dipilih setelah kebanyakan koku lain sudah penuh. "Ehmmm... lepas ni bole jadi reporterlah... hehehehe". Nampaknya, semester ini kesibukan melanda. Sibuk dengan projek-projek mini dan sibuk dengan 'case study' yang boleh tahan banyaknya. "Tak boleh kerja last minute nih!".
Untuk program kelas BMFR semester ini, kami sepakat hendak ke Port Dickson. Program 2 hari 1 malam, bersantai-santai sambil membina ukhwah antara rakan sekelas. Terlalu banyak prosedur yang perlu dilalui untuk memohon kelulusan, walaupun sekadar permohonan perkhidmatan bas universiti sahaja. Semoga apa yang kami rancang ini berjaya dilaksanakan dan ucapan jutaan terima kasih buat Ketua Jabatan kami yang sangat prihatin dan sanggup membantu dalam urusan permohonan kelulusan program ini. Semoga berjaya!
Selamat tinggal thermofluid & engineering materials...
Bapak borek anak rintik Mak, Syahmi & Kayyisah
Ujian Musnah - projek buai Abah dan Syahmi
Syahmi the builder Kursus Free - Solidwork 2011 di ILP PG
Botanical Garden, Melaka Hari pertama Tadika KEMAS
Concept Sketching using Google Sketchup Pro Software
Natural Illumination Device... Idea untuk projek PDD.. ok tak?
Saturday, December 25, 2010
Pujuklah hati....
Segumpal daging dalam tubuh adalah hati. Bila hatinya bersih maka baik pula perilakunya. Namun terkadang hati kita dihinggapi rasa yang tak baik seperti riak, tamak, iri hati, sedih, takut, lemah, dan was-was. Pujuklah hati.... sentiasalah berdoa, berdoa untuk hati kita.... bersyukurlah dengan apa yang ada.. berusahalah tanpa jemu... bertawakkal kepada Allah... Allah yang maha pengampun, penyayang lagi maha mengasihani...
"Ya Allah aku berlindung pada-Mu dari kemurungan dan kesusahan, aku berlindung pada-Mu dari kemalasan dan aku berlindung pada-Mu dari ketakutan dan kekikiran, aku berlindung pada-Mu dari tekanan hutang dan paksaan orang lain."
Pujuklah hati....berdoalah lagi.... lagi... dan lagi....
" Dengan asma AllahYang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya
Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya
Ilahi, Tuhanku
Hatiku penuh hijab dan jiwaku penuh aib
Akalku terkalahkan dan hawa nafsuku mengalahkan
Ketaatanku sedikit dan maksiatku banyak
Sedangkan lisanku mengakui dosa-dosaku, bagaimana dengan dayaku?
Wahai Yang Maha Menutupi segala aib
Wahai Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib
Wahai Yang Menghilangkan segala duka dan derita
Ampuni semua dosaku dengan kemuliaan Muhammad dan keluarga Muhammad
Ya Ghafar Ya Ghaffar Ya Ghaffar
dengan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi. "
Hatiku penuh hijab dan jiwaku penuh aib
Akalku terkalahkan dan hawa nafsuku mengalahkan
Ketaatanku sedikit dan maksiatku banyak
Sedangkan lisanku mengakui dosa-dosaku, bagaimana dengan dayaku?
Wahai Yang Maha Menutupi segala aib
Wahai Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib
Wahai Yang Menghilangkan segala duka dan derita
Ampuni semua dosaku dengan kemuliaan Muhammad dan keluarga Muhammad
Ya Ghafar Ya Ghaffar Ya Ghaffar
dengan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi. "
Monday, December 6, 2010
4 Disember : Selamat Ulang Tahun Maryam Kayyisah
4 Disember 2010, genap setahun usia puteri sulungku. Mengenang kembali pengalaman semasa mengandung serta melahirkannya, pengalaman yang amat berharga. Memang kami suami-isteri merancang untuk menimang cahaya mata kedua, buat peneman abang yang ketika itu telah berusia 3 tahun. Alhamdulillah, saya disahkan mengandung dan bakal bersalin pada bulan Disember 2009 (memang itu yang kami rancang, agar perancangan kami melanjutkan pelajaran tidak terganggu, di mana cuti akhir semester jatuh pada bulan disember). Seperti pengalaman semasa mengandungkan Syahmi, saya mengalami alah/mabuk yang agak teruk. Saya tiada selera makan, tidak boleh menghidu bau-bau masakan, tidak boleh lapar, tidak boleh membaca dan menghadap skrin komputer, kerap letih dan muntah-muntah. Seksanya, hanya Allah yang tahu, sehinggakan emak saya pun pernah berseloroh melihat keadaan saya, "Linda, teruk sangat mabuk, agaknya dua ni je lah anaknya". Dalam tempoh 3 bulan saya mengalami alah yang teruk itu, sememangnya prestasi kerja saya merundum. Banyak kerja-kerja berkaitan dokumentasi tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam tempoh itu juga, saya lebih suka berkurung di rumah, jarang sekali keluar rumah. Jika balik kampung (Kulai/Kluang), sepanjang perjalanan itu, suami saya akan berhenti di setiap hentian sebelah dan R&R lebuhraya, agar saya dapat melepaskan muntah. Letih, sangat letih. Majlis Anugerah Cemerlang yang perlu saya hadiri juga terpaksa dilupakan, kerana dalam keadaan bergini, saya tidak mampu bertahan duduk berjam-jam di dalam majlis tersebut.
Semasa usia kandungan saya 14 minggu, saya dan suami menerima tawaran melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, ketika mendaftar, alahan saya semakin berkurangan. Sebaik sahaja kuliah bermula, saya tidak lagi mengalami alahan. Syukur, Allah permudahkan urusan saya. Pada semester tersebut, saya terpaksa melalui kerja bengkel. Syukur, pensyarah-pensyarah dan juruteknik-juruteknik memahami. Semua projek dilakukan secara berkumpulan, dan saya pasti berpasangan dengan suami. Apa yang mampu saya buat, saya akan lakukan, kerja-kerja menggegas, melarik, milling dan sheet metal saya lakukan, kecuali mengimpal, sememangnya saya diberi pelepasan, hanya perlu buat laporan sahaja. Alhamdulillah, saya dapat A untuk subjek tersebut. Malah, saya mendapat Anugerah Dekan pada semester tersebut.
Pengalaman mengandungkan Syahmi, saya juga mengalami kencing manis. Terpaksa menjalani pelbagai ujian darah dan kerap berulang-alik ke klinik. Semasa mengandung kali kedua ini pula, kesihatan saya di tahap yang baik, hanya perlu buat pemeriksaan rutin di klinik desa Kesang Pajak yang sentiasa lengang keadaannya, tidak ramai yang buat pemeriksaan di situ. Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk menyiapkan pemeriksaan. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan lagi.
Selesai peperiksaan akhir, kami pulang ke Johor. Mengikut perancangan awal, saya akan berpantang di Kluang kerana ibu mertua akan membantu suami menjaga saya. Memandangkan, banyak cerita yang tidak menarik didengar daripada kenalan mengenai Hospital Kluang, saya berhasrat untuk bersalin di Hospital Batu Pahat. Tapi, kita hanya mampu merancang, Allah penentu segalanya. Di saat-saat akhir, ibu dan bapa mertua saya berpeluang menunaikan fardhu haji. Segala perancangan berubah, ibu mertua mencadangkan agar saya pulang ke Kulai pada 4 Disember 2009 dan bersalin di sana, lagipun tarikh jangkaan bersalin saya jatuh pada 20 Disember 2009. Setelah difikir semasak-masaknya, demi keselesaan suami, saya bercadang untuk bersalin di Hospital Kluang (tawakkal sahaja, walaupun banyak cerita tidak menarik didengar) dan berpantang di Kluang sahaja. Insyallah, suami lebih selesa menjaga saya di kampungnya sendiri. Ibu-ibu saudara dan adik-adiknya boleh membantu serba sedikit.
Tanggal 3 Disember 2009, saya dapat merasakan yang saya akan bersalin pada masa terdekat. Sama seperti pengalaman bersalinkan Syahmi, keluar tanda lendir berdarah. Tidak mahu duduk di wad lama-lama, saya menunggu sehingga ada rasa sakit. Jam 4 pagi, 4 Disember 2009, sedang lena tidur, saya mengalami sakit di pinggang, rasa seperti sakit senggugut, rasa sakit itu datang secara kerap, lendir berdarah juga semakin banyak. Saya cuba menenangkan diri sendiri, sebelum mengejutkan suami, saya mandi dahulu dan menyiapkan diri. Kemudian, baru mengejutkan suami. Saya mengawal rasa sakit, agar suami tidak risau. Lebih kurang jam 4.45 pagi, kami sampai di Hospital Kluang. Berdasarkan pemeriksaan, bukaan pintu rahim baru 3 cm. Rasa sakit akibat kontraksi semakin kerap, degup jantung bayi dalam keadaan baik. Sementara menanti jam 8.00 pagi, saya ditempatkan di wad. Agak risau apabila saya seorang sahaja di dalam bilik yang menempatkan 2 buah katil. Lagi sebuah katil belum ada pesakitnya. Hanya dapat melelapkan mata untuk beberapa minit sahaja, kerana kontraksi yang saya alami semakin kerap, sangat tidak selesa. Lebih kurang jam 8.30 pagi setelah bersarapan sedikit nasi goreng, doktor memecahkan ketuban saya. Rasa sakit semakin kuat. Kemudian, saya terus dibawa ke dewan bersalin. Katil-katil hanya dihadang menggunakan langsir sahaja. Mujur, pada pagi itu, saya seorang sahaja yang sedang menanti saat kelahiran. Maka, semua jururawat dan pelatih-pelatih menumpukan perhatian kepada saya sahaja. Syukur, ada pelatih-pelatih dan jururawat yang baik hati mengurut dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Sebaik sahaja saat bersalin semakin hampir, suami saya dipanggil masuk bagi menemani saya. Jururawat banyak membantu dan mangajar teknik-teknik yang bermanfaat. Suami juga diajar bagaimana untuk menyokong kepala dan bahagian belakang saya semasa sedang meneran. Berkat tunjuk ajar dan keprihatinan jururawat dan pelatih semua serta sokongan suami tercinta, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada jam 10.02 pagi dengan berat 2.6kg (berat abang semasa dilahirkan 2.5kg). Mungkin, saya bersalin awal 2 minggu daripada tarikh jangkaan, menyebabkan berat bayi hanya 2.6kg, tidak seperti bayi-bayi lain, kebiasaannya mencecah 3kg atau lebih.
Gembira di hati bukan kepalang, kini kami mempunyai sepasang cahaya mata. Sepanjang tempoh berpantang, segalanya diuruskan oleh suami. Syukur, berkat pengalaman lepas, suami tahu apa yang perlu untuk saya dan bayi. Mencuci uri, menanam uri, mengambil tukang urut, memasak lauk berpantang dan memandikan bayi, semuanya dilakukan oleh suami saya. Semasa saya mengalami bengkak susu, dek kerana terlalu sakit dan tidak mampu untuk mengangkat gayung, suami sayalah yang memandikan saya (aduh!!! manjanya...). Adik-adik ipar dan ibu-ibu saudara suami juga banyak membantu, mencarikan ubat-ubat tradisional dan membantu suami yang tak menang tangan menguruskan saya, bayi dan hero kami.
Pada hari ketujuh, kami menamakan bayi, Maryam Kayyisah. Sebenarnya nama Kayyisah saya jumpa di internet. Maknanya, berakal jernih. Semoga pemilik namanya juga berakal jernih. Sengaja saya memilih nama Maryam, agak klasik sedikit. Mencari sedikit kelainan daripada trend nama-nama hari ini. Pada masa yang sama, nama nenek saya dan nenek suami juga Maryam. Yang paling penting, Maryam adalah nama ibu nabi Isa. Maryam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman (seorang lagi adalah isteri Firaun) yang berdarjat tinggi di sisi Allah.
"Allah membuat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.'"Dan Maryam, puteri Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami menghembuskan ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan menjadi antara orang-orang yang patuh" (66:11-12).
Akan tetapi, Allah berfirman lagi mengenai Maryam. Kata-Nya Maryam adalah di atas semua perempuan di semua alam.
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Maryam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Semoga makna dan pengertian nama ini mempengaruhi keseluruhan hidup anak perempuan saya, Maryam Kayyisah. Semoga menjadi anak serta muslimah yang solehah, terpelihara keselamatan, kesihatan, akhlak dan kesucian maruahnya, dilindungi daripada segala kejahatan dan maksiat yang semakin berleluasa di muka bumi ini. Amin... Amin... Ya Rabbal A'lamiiin.... Doa emak, sentiasa mengiringi hidup kalian, Muhammad Izzu Syahmi dan Maryam Kayyisah.....
Tuesday, November 30, 2010
Al-Fatehah buat nenda tercinta
Assalamualaikum...
Tanggal 20 November 2010, hari Sabtu jam 5.45 ptg, panggilan telefon daripada emak membawa khabar duka dari Kulai, nenda tercinta, Hjh. Siti Mariam binti Hj. Abas telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwainnailaihirajiun.... Semoga roh Atok Yam ditempatkan di kalangan roh orang-rang yang beriman. Di usia 78 tahun, arwah meninggal dunia kerana sakit tua. Syukur, peperiksaan yang perlu saya duduki jatuh pada hari Isnin. Sempatlah saya dan suami pulang ke Johor untuk bersama-sama keluarga menguruskan jenazah arwah atok. Dapatlah saya berjemaah menunaikan solat jenazah buat arwah atok bersama sanak-saudara yang lain.
Terlalu banyak kenangan manis bersama Atok, tak mungkin saya lupakan. Atoklah guru mengaji saya yang pertama sebelum berguru dengan Arwah Atok Nin (Pak bilal, jiran belakang rumah Atok). Atoklah juga guru berzanji saya. Berkat tunjuk ajarnya, dapatlah saya mewakili sekolah ke perujian-perujian berzanji sejak darjah 4 lagi. Masa zaman sekolah dulu, rajinlah juga mengikut Atok ke majlis-majlis katam Al-Quran di sekitar Felda Taib Andak, dan kadang-kadang dapatlah juga menyumbang suara untuk 1 rawi. Saya pasti merindui kuih apam beras, kuih deram dan kuih cakar ayam arwah Atok Yam. Walaupun arwah tidak mendapat pendidikan secara formal, tapi arwah seorang yang rajin belajar. Semangatnya kuat. Tidak bergantung pada pendapatan Atok Apo sebagai peneroka Felda sahaja, Atok Yam berniaga kecil-kecilan menjual kuih Apam dan ubat-ubat tradisional di rumah, pasar tani Kulai dan pasar malam Felda Taib Andak. Kadang-kala, sempat juga saya mengikut Atok berjual di pasar tani dan pasar malam, serta berjual kuih dari rumah ke rumah bersama adik di rumah jiran-jiran. Ya, sifat yang membuatkan saya kagum dengan arwah, semangat kentalnya. Itulah salah satu sebab, saya menamakan anak perempuan saya Maryam Kayyisah. Semoga dia mewarisi semangat kental arwah Atok nanti.
Semasa kecil, ketika emak mempunyai urusan di Kuala Lumpur, saya dijaga oleh Atok. Apabila emak berpisah (ketika itu saya berusia 5 tahun dan adik saya baru dilahirkan) dengan arwah Abah, saya, adik dan emak menetap di rumah Atok. Kedua-dua Arwah Atok (Atok Apo & Atok Yam) lah yang menjaga saya dan adik, malah banyak yang telah dibelanjakan untuk membesarkan kami dua beradik. Ya, saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang besar. Saya dibesarkan oleh emak, Atok Apo, Atok Yam serta bapa-bapa saudara (4 orang) serta ibu-ibu saudara (2 orang) yang ketika itu masih bujang lagi. Terima kasih, kasih sayang yang kalian curahkan amat bermakna buat kami dua beradik, hanya Allah yang dapat membalas budi kalian.
Aidilfitri terakhir bersama arwah Atok Yam
Saturday, November 13, 2010
Keropok ROTA haram sebab ada kod E110. Benarkah?
Assalamualaikum.........
Gara-gara terbaca satu wall post di akaun Facebook hari ini, saya terpanggil untuk membuat entry ini.
Rota... Oh! Rota.... rasanya, sejak zaman kanak-kanak saya lagi, 'jajan' (makanan ringan) ini sudah hangat di pasaran. 20 sen sebungkus, jajan 'mampu beli' bagi semua kanak-kanak Malaysia (sambil tersenyum, saya taip ayat ni). Kalau difikir-fikir, tidak mampu saya nyatakan, sudah berapa kilo jajan Rota ni masuk dalam perut saya, sejak zaman kanak-kanak dulu. Belum lagi jajan-jajan ciplak Rota, rasa sama, rupa sama, brand sahaja yang berbeza.
Memang tidak dinafikan, makan jajan tidak baik untuk kesihatan kita. Semua orang tahu, dan ramai orang buat-buat tidak tahu tentang perkara ini. Termasuklah saya, kadang-kadang, bila mulut ni rajin nak mengunyah walaupun tak lapar, jajan-jajan menjadi pilihan, dan selalunya saya buat-buat tak tahu, jajan itu tidak elok untuk saya. Degil! Tapi, bila dah ada anak, risau pula melihat anak-anak makan jajan. Memang susah nak jauhkan diri daripada jajan, sebab jajan di mana-mana sahaja sekarang ini. Apa yang mampu dilakukan, mengurangkan seminima yang boleh. Selamat maju jaya Aleen!
Berbalik kepada wall post berkaitan Rota di Facebook.
ROTA haram sebab ada lemak babi?
Reaksi pertama saya :
Terkejut. Sangat terkejut.
(sambil berfikir, dah berapa banyak saya makan Rota sejak kanak-kanak lagi!)
Reaksi kedua saya :
Ye ke?.
(sebab dah banyak sangat jumpa email seperti ini)
Reaksi ketiga saya :
Mana dia tahu ada lemak babi ye?
(oooo.... ada tulis kod E110- penulis kata, E110 tu lemak babi... scroll lagi ke bawah, banyaknya kod! semua 59 kod tu ada lemak babi.... aduh! lepas ni nak beli makanan kena check ada tak antara 59 kod tu yang tertulis kat senarai ingredient... so, kena hafal lah ni????...)
Reaksi keempat saya :
Nampak logo Halal pada packaging.
(terfikir, kalau terang-terang dah ada kod E110, macam mana boleh dapat sijil halal ni?. Jakim tak tau ke?... eh! takkan JAKIM tak tau, ni kan kerja die...tengok kat comment rakan-rakan FB, ade pulak yang kata JAKIM makan suap, tak buat kerja.... pergghhh... sesuka hati die je cakap org makan suap dan tak buat kerja)
Reaksi kelima saya :
Surfing, mencari maklumat lanjut.
(hehehe.... hari ni belum ada mood nak study final... paper lambat lagi... 19 & 22.11.2010.... lagipun, tension dgn paper thermo semalam tak habis lagi... so, hari ni nak buat mini research sikit pasal 'food ingredient numbers' ni...)
Inilah hasil mini research saya hari ini berkaitan FOOD INGREDIENT NUMBERS (E-numbers)
Sumber :
| World of Islam | Food Figures | Portal Rasmi Halal Malaysia | Blog Nuristimewa | Portal Rasmi JAKIM |
- Apa itu E-numbers?
- Merupakan kod yang mewakili bahan tambahan tertentu yang digunakan oleh pengeluar produk makanan. Ianya telah dirumuskan oleh European Economic Community (EEC) dan digunapakai oleh industri makanan di seluruh dunia.
- Huruf 'E' mewakili "Europe" atau "European Union"
- Nombor-nombor selepas huruf E dikategorikan seperti berikut :
- Kod E110 yang tertulis pada jajan ROTA merupakan kod bagi jenis pewarna makanan.
- E110 : Sunset Yellow FCF / Orange Yellow S - daripada sumber kimia
- Halal if used as 100% dry color. Mushbooh if used as liquid color, the solvent has to be Halal.
- Sunset Yellow FCF ini diperbuat daripada aromatic hydrocarbons (petroleum).
- Sememangnya, bahan ini HALAL. Tetapi, ianya SANGAT TIDAK ELOK UNTUK KESIHATAN kita. Norway telah mengharamkan penggunaan bahan ini dalam pengeluaran produk makanan mereka kerana E110 boleh mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti urticaria (gatal-gatal), urticaria (hidung beringus), hidung tersumbat, alergi, hiperaktif, tumor ginjal, kerosakan kromosom, mual dan muntah-muntah, gangguan pencernaan dan tidak selera makan.
- Kod-kod yang HARAM:
- E120 Cochineal : pewarna merah yang dihasilkan daripada serangga betina. (Haram according to Hanafi Fiqqah)
- E441 Gelatine : berasal dari tulang atau kulit lembu/babi
- E542 Edible Bone Phosphate : ekstrak dari tulang haiwan
- E904 Shellac : resin daripada serangga.
- Beberapa bahan tambahan berkod E47, mungkin daripada haiwan atau tumbuhan.
- Berhati-hati dengan kod-kod berikut :
- Glycerol / Glycerin / Glycerine (E422) - haram jika diperolehi daripada daging babi atau sumber-sumber tidak halal.
- Emulsifiers (E470 to E483) - haram jika diperolehi daripada daging babi atau sumber-sumber tidak halal.
- Edible Bone Phosphate (E542) - haram jika diperolehi daripada daging babi atau sumber-sumber tidak halal.
- Sebenarnya, banyak pihak telah menjawab persoalan tentang isu E110 ini. Cuma kita yang tidak berapa peka dengan maklumat-maklumat yang berasas seperti ini. Contohnya, School of Chemical Sciences and Food Technology, Faculty of Science and Technology, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga telah menjawab isu E110 ini.
Jawapan dari UKM :
Saya dah semak dan didapati tidak semua senarai E-codes itu diperbuat daripada terbitan lemak haiwan/babi. Sebagai orang Islam, tidak tidak boleh mengambil apa-apa maklumat bulat-bulat begitu saja tanpa ditentukan kesahihannya. Kita tidak mahu umat Islam dianggap “bodoh” dan mudah “diomong-omongkan” dengan perkara sebegini.
Sebagai contoh untuk additives dengan kod E100 adalah merujuk kepada curcumin, iaitu pewarna kuning semulajdi yang diambil daripada rizom kunyit (Curcuma longa), E110 adalah pewarna turuan Sunset Yellow FCF, Orange Yellow S, E120 = Cochineal, Carminic acid, Carmines, E140 = Chlorophylls and Chlorophyllins dan banyak lagi yang salah yang tidak ada kena mengena dengan lemak/minyak, apatah lagi lemak babi. Kesimpulannya, umat Islam perlulah berilmu agar kita tak mudah diperdaya dan “dipermainkan” oleh musuh-musuh Islam..................... (sila klik di sini untuk maklumat seterusnya)
KESIMPULAN
- Jangan percaya bulat-bulat dengan maklumat-maklumat yang tidak berasas. Kebelakangan ini, memang banyak berita-berita atau artikel-artikel seperti ini tersebar di internet. Terutamanya melalui email dan rangkaian-rangkaian sosial seperti FACEBOOK dan seumpamanya. Baca boleh! percaya belum pasti. Maka, selidiklah dahulu sebelum mempercayainya. Kadangkala, maklumat yang disebarkan itu tidak tepat.
- Jangan menuduh orang sesuka-hati. Jangan menuduh orang tidak buat kerja, makan rasuah dan macam-macam lagi tuduhan dilemparkan sekiranya ada perkara yang membuatkan kita tidak berpuas hati. Hanya Allah yang tahu, apa yang mereka buat. Kita pun, bukannya tahu sangat tentang tugas dan tangunggjawab yang mereka pikul. Dan kitapun kadang-kala tidak dapat melaksanakan tanggungjawab kita dengan sempurna. Apa pula pandangan orang terhadap kita? Yang penting, keikhlasan kita menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kadangkala, apa yang kita buat pasti ada kekurangan, kerana kita tidak sempurna. Hanya Allah yang tahu!
- Sebenarnya, banyak maklumat yang boleh kita perolehi daripada kemudahan internet ini. Yang baik mahupun yang buruk, pastinya dihujung jari. Terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk menapis segala maklumat itu. Jangan menyalahkan teknologi dek kerana keburukan yang kita nampak segalanya berpunca daripadanya. Kepintaran manusia membangunkan teknologi adalah anugerah daripada Allah buat makhlukNya yang berakal. Umat Islam perlulah berilmu agar kita tak mudah diperdaya dan “dipermainkan” oleh musuh-musuh Islam. Fikir-fikirkanlah......
Wallahualam....
Subscribe to:
Posts (Atom)
















