Tuesday, September 28, 2010

Memilih dan terpilih....

Salam semua...

Sukar. Memang sukar untuk membuat pilihan dalam hidup ini. Ya atau tidak, ungkapan yang cukup 'simple', tetapi amat sukar dipilih. Antara 'Ya' atau 'Tidak', kedua-duanya akan membawa implikasi ke atas hidup kita, samada baik atau buruk. Tidak mungkin kita boleh memilih kedua-duanya dalam satu masa. Sulit untuk kita mengetahui samada pilihan kita itu tepat ataupun tidak. Hanya Allah sahaja yang tahu. Kita hanya mampu MEMILIH, namun Allah sahaja yang menentukan samada kita TERPILIH sebagai orang yang betul dan tepat dalam membuat pilihan.

Wow! Boleh tahan berat juga topik entri saya pada kali ini. Sebenarnya, saya masih dalam proses belajar, belajar memahami lumrah kehidupan, belajar memahami ketentuan Ilahi dan mendidik hati ini agar sentiasa mengingati kebesaran dan kekuasan Allah S.W.T. Saya juga dalam proses melatih diri menumpahkan idea dan menulis sesuatu yang lebih ilmiah. Saya masih bertatih dalam arena ini. Tapi, saya yakin, dengan latihan, saya akan berjaya menghasilkan nukilan-nukilan yang lebih berkualiti. Teringat salah satu pesanan motivasi yang sering dikongsikan oleh seorang pensyarah saya dalam kuliahnya, "kita perlu berlatih dan berlatih lagi untuk berjaya. Kadang-kala kita perlu berlakon sebagai orang berjaya. Insyallah, satu hari nanti kita akan terbiasa dengan lakonan itu dan hasilnya kita akan berjaya".

Memilih dan terpilih.... mengapa topik ini? Ya, semuanya gara-gara baru mendapat berita tentang seorang sahabat yang berada dalam situasi ini. Sedang dalam dilema membuat pilihan hidup. Mungkin, pada masa ini dia telah membuat pilihannya. Semoga dia dikalangan insan-insan yang TERPILIH sebagai pembuat PILIHAN yang tepat. Semoga dia diberi petunjuk olehNya. 


Bagaimana membuat pilihan?
1. Tanyalah diri kita, kerana apa keputusan itu dibuat. Kerana Allah? Kerana hawa nafsu?
2. Memohon dari Allah petunjuk dalam membuat keputusan. Berdoa dan solat istiharah.
3. Menyenaraikan kesan baik dan kesan buruk.
4. Mengambil pandangan dari pelbagai pihak (ibu bapa, kawan-kawan dan orang-orang yang lebih berpengalaman)
5. Menyusun stategi untuk melaksanakan keputusan serta strategi menghadapi implikasi yang akan berlaku.
6. Meletakkan tekad yang kuat serta tawakal yang tinggi kepada Allah.



Kehidupan kita meningkat dari satu tahap ke satu tahap. Setiap tahap kehidupan memerlukan kita membuat pilihan. Perkara ini merupakan lumrah yang kita hadapi secara sedar atau tidak. Sesetengah keputusan kita mungkin tidak tepat dan akan memberi pengajaran kepada kita dan menjadi lebih teliti dalam membuat keputusan. Yang akan menjalani hidup ini bukan orang lain, tapi diri kita sendiri. Maka beranilah membuat keputusan. Letakkan tekad yang kuat serta tawakal yang tinggi kepada Allah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...